KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa sedih dengan nahas kapal terbang di Timur Jauh Rusia.
Menurut beliau, dalam keadaan seperti ini nilai kemanusiaan sejagat lebih penting daripada geopolitik.
“Saya berasa sedih apabila mendapat tahu tentang nahas kapal terbang di Timur Jauh Rusia. Doa saya bersama keluarga yang telah kehilangan orang tersayang.
“Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Rusia. Kami berdiri dalam solidariti yang tenang bersama semua yang sedang berkabung,” tulisnya menerusi Facebook.
Sebuah pesawat membawa hampir 50 orang terhempas di kawasan terpencil di wilayah Amur, Timur Rusia dengan tanda-tanda tiada yang selamat, kata pihak berkuasa.
Pesawat Antonov-24 kendalian Angara Airlines, yang menuju ke bandar Tynda dari Blagoveshchensk hilang dari radar kira-kira jam 1 tengah hari waktu tempatan.
Dilaporkan, kru sebuah helikopter penyelamat melihat badan pesawat terbakar di jurang gunung berhutan kira-kira 16 kilometer dari Tynda.
Rakaman video yang disiarkan para penyiasat Rusia menunjukkan asap daripada bangkai pesawat naik ke udara di kawasan hutan tersebut.
Para anggota penyelamat dalam helikopter tersebut melihat tiada mangsa yang selamat, penyelamat tempatan berkata, agensi pertahanan awam rantau Amur menyatakan ia telah menghantar pasukan ke lokasi.-MalaysiaGazette
















