KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri akhirnya mengakui dia tidak membeli jet peribadi yang menjadi viral sebelum ini.
Aliff, 38, berkata, pesawat mewah tersebut adalah sebahagian daripada gimik dan sesi penggambaran selepas dia dan isteri, Datin Seri Nur Shahida dilantik menjadi duta sebuah jenama barangan kemas.
“Kami belum mampu beli jet lagi buat masa ini. Insya-Allah satu hari nanti,” katanya dalam hantaran TikTok di sini.
Pada masa sama, Aliff turut menasihati orang ramai agar bijak merancang kewangan dan melabur dalam bentuk simpanan emas.
“Papa nak pesan, kalau ada duit lebih, melaburlah dengan beli emas. Terima kasih kepada yang mendoakan kejayaan kami.
“Papa dan mama pun mendoakan kejayaan kalian,” katanya.
Sebelum ini, Aliff didakwa berjaya memiliki sebuah jet peribadi hasil titik peluh menjual jeruk mangga bersama anak sulungnya, Ammar Ahyan.
Isu itu timbul apabila Aliff berkongsi video keterujaan bersama isteri dan anaknya menaiki jet peribadi berwarna hitam tersebut. – MalaysiaGazette
















