Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu perdana menteri, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menjadi antara penerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri, esok.

Selain beliau, tiga lagi turut menerima DPPN ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Mohd Yussof Abdul Latiff.

Penganugerahan itu sempena hari ulang tahun ke-84 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Law Choo Kiang berkata, pada tahun ini, seramai 150 orang akan menerima darjah kebesaran manakala 1,380 lagi mendapat bintang dan pingat kehormatan.

Seramai 17 lagi menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.

Mereka ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zuliifli Long; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran a/l Muniayan; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara, Datuk Lee Chong Wei.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor Universiti Antarabangsa MAIWP, Prof. Datuk Dr. Noor Inayah Ya’akub.

Tambahnya, 11 penerima akan dianugerahkan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, 118 penerima akan menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), juga membawa gelaran Datuk.

Seramai 222 orang penerima pula akan dianugerahkan Pingat Kelakuan Terpuji dan 371 penerima Pingat Jasa Kebaktian, 641 Pingat Jasa Masyarakat dan 18 penerima Pingat Bakti Setia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast