KOTA KINABALU – Perhimpunan aman Bangkit Sabahan 2.0 yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka, di sini, Sabtu ini ditangguhkan ke satu tarikh baharu.
Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, penangguhan itu dibuat atas faktor teknikal dan logistik bagi memberi ruang kepada pihak penganjur mengadakan perbincangan lanjut bersama rakan-rakan aktivis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pihak keselamatan.
Penangguhan ini juga bagi memastikan kelancaran dan keselamatan semua pihak yang terlibat.
“Tarikh baharu perhimpunan akan diumumkan pada awal Ogos ini selepas selesai rundingan akhir bersama semua pemegang taruh di peringkat negeri,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau berkata, perhimpunan Bangkit Sabahan 2.0 ini dijangka menjadi salah satu manifestasi semangat dan solidariti rakyat Sabah dalam menzahirkan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor serta Kerajaan GRS-PH.
“Sokongan itu dalam usaha berterusan mempertahan hak rakyat Sabah, memperkukuh perpaduan negeri dan memperjuangkan kestabilan politik demi pembangunan berterusan,” katanya.
Zulkarnain berkata, lebih 100 persatuan dan gabungan NGO dari seluruh pelosok Sabah telah menyatakan komitmen untuk turut serta, dengan anggaran kehadiran melebihi 10,000 peserta pada perhimpunan tersebut. – MalaysiaGazette
















