ISKANDAR PUTERI – Kemalangan dua treler tangki ISO di Jambatan Link Kedua, Kilometer 0.8, Lebuhraya Plus di sini petang semalam, tiada menyebabkan kebocoran bahan kimia di atas jalan raya mahu pun terapung atas permukaan air laut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Suleiman berkata, perkara itu disahkan selepas Pasukan Khas Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor tiba di lokasi kemalangan dan mengambil tindakan penilaian dan pemantauan.
“Pasukan Khas Hazmat telah mengambil kadar kualiti udara di lokasi kemalangan menggunakan ‘Detector FTiR Gasmet’ dan ‘GFG Multi Gas Detector’ mendapati keadaan udara di lokasi adalah selamat.
“Pengamatan kehadiran buih-buih atau kesan minyak atau perubahan warna di permukaan air laut juga mendapati tiada kesan bahan kimia dijumpai,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Artikel berkaitan:
Beliau berkata, ketika Pasukan Khas Hazmat tiba di lokasi kemalangan, lori treler yang membawa muatan bahan kimia, Propylene Glycol sudah ditunda keluar oleh pihak pengurusan Plus.
Katanya, lokasi tangki ISO yang jatuh ke dalam laut itu kemudian diambil alih dan dikawal Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Laut.
“Selepas kita memastikan treler tangki ISO juga tiada kebocoran, malah tiada muatan ketika kejadian, maka tindakan seterusnya diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Mohd Faiz berkata, operasi itu ditamatkan pada pukul 11 malam tadi.
Semalam, media melaporkan satu muatan bahan kimia terjatuh ke dalam laut dari sebuah treler yang terbabit dalam kemalangan di jambatan itu semalam.
Kemalangan berlaku antara dua treler yang mana satunya membawa muatan bahan kimia jenis Propylene Glycol, manakala satu lagi dengan muatan bahan kimia Sodium Hypochlorite.
Difahamkan, kemalangan itu juga mengakibatkan sebuah motosikal terbabas dan terjatuh, namun penunggang motosikal tidak cedera serius, lalu bergerak meninggalkan lokasi. – MalaysiaGazette















