KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tidak boleh berdiam diri terhadap konflik di sempadan Thailand dan Kemboja yang semakin meruncing sejak beberapa hari ini.
Ketua Armada Malaysia, Muhammad Hilman Idham berkata, setakat pagi ini dilaporkan 14 orang terkorban akibat serangan darat dan udara di Ta Muen Thom dan Preah Vihear termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang cedera parah.
“Malaysia mempunyai kepentingan dagangan yang besar dengan kedua-dua negara, khususnya dalam sektor logistik, pelancongan dan rantaian bekalan.
“Panggilan telefon Perdana Menteri kepada pihak berkaitan pada 24 Julai lalu jelas tidak meredakan keadaan, malah hari berikutnya serangan terus berlaku,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik Armada.
Semalam media melaporkan, sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dalam pertempuran paling berdarah antara Thailand dan Kemboja dalam lebih sedekad, apabila kedua-dua negara bertempur menggunakan kereta kebal, artileri dan tentera darat ke atas zon yang dipertikaikan, semalam
Pertempuran berlaku di kawasan dikenali sebagai Segitiga Zamrud, lokasi sempadan antara tiga negara iaitu Thailand, Kemboja dan Laos.
Pertikaian berlarutan sejak beberapa dekad lalu itu mencetuskan pertempuran berdarah lebih 15 tahun lalu dan sekali lagi pada Mei lalu apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan.
Mengulas mengenai Himpunan Turun Anwar yang akan berlangsung esok, Muhammad Hilam berkata, Armada optimis sasaran kehadiran akan tercapai.
“Himpunan ini adalah gelombang kebangkitan rakyat. Kami menyeru semua ahli Bersatu turun beramai-ramai dengan membawa Jalur Gemilang sebagai simbol semangat bertanggungjawab dan cinta kepada negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette















