KUALA LUMPUR – Wanita Keadilan Pusat menyifatkan tuduhan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, berhubung pengumuman bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 oleh Perdana Menteri sebagai retorik politik semata-mata yang tidak mencerminkan keprihatinan terhadap nasib rakyat.
Exco Wanita Keadilan, Karen Kasturi berkata, dakwaan kononnya pengumuman itu dibuat untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada himpunan anjuran pembangkang pada Sabtu ini adalah dangkal dan tidak berasas.
“Pengumuman ini bukan sekadar ‘pengumuman biasa’ seperti didakwa Ahmad Fadhli. Ia adalah sebahagian daripada langkah kerajaan menangani beban kos hidup rakyat.
“Ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpegang kepada prinsip Ekonomi Madani iaitu mengembalikan hasil negara kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Karen menegaskan kerajaan yang mengamalkan prinsip demokrasi sentiasa berusaha memberi penjelasan mengenai isu rakyat dari semasa ke semasa.
“PAS semakin ketandusan idea untuk memobilisasi rakyat. Sebaliknya, mereka memilih untuk memperkecilkan usaha murni kerajaan yang bekerja keras demi kesejahteraan rakyat.
“Jangan lupa ya, ketika mereka berada dalam kerajaan persekutuan sebelum ini, mereka gagal membuat ‘pengumuman biasa’ yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” sindirnya.
Beliau turut menambah, pengumuman tersebut adalah sebahagian daripada dasar dan program jangka panjang kerajaan untuk meringankan tekanan ekonomi yang dihadapi golongan berpendapatan rendah dan sederhana bukannya reaksi terhadap tekanan politik atau himpunan jalanan.
“Kerajaan Perpaduan tidak beroperasi mengikut tekanan jalanan atau desakan politik sempit. Kami beroperasi atas dasar kecekapan, integriti dan keutamaan rakyat. Ini adalah intipati sebenar Ekonomi Madani yang sedang dilaksanakan,” katanya lagi.
Karen turut menyeru pihak pembangkang agar berhenti memainkan isu-isu yang hanya mengelirukan rakyat dan sebaliknya menumpukan usaha membina dasar alternatif yang realistik untuk kepentingan negara.
“Rakyat menilai siapa yang bekerja untuk mereka, dan siapa yang hanya pandai berpolitik. Kerajaan hari ini berusaha mengembalikan hasil negara kepada rakyat, bukan mempolitikkan bantuan,” tegasnya. -MalaysiaGazette















