Karen Kasturi

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari disifatkan tidak matang apabila cuba memperkecilkan kejayaan Kerajaan Perpaduan dan usaha murni Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meringankan beban rakyat.

Exco Wanita PKR Pusat, J Karen Kasturi berkata, Pas makin ketandusan idea untuk mobilisasi rakyat membantah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang berjaya melaksanakan dasar kerajaan secara berintegriti dan berkompetensi.

“Tuduhan kononnya pengumuman bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 bagi mengalihkan perhatian daripada himpunan Sabtu ini adalah dangkal dan berniat politik.

“Sedangkan pengumuman penghargaan untuk rakyat itu menjelaskan dasar dan program kerajaan dalam menangani isu beban kos hidup yang meningkat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Ahmad Fadhli mendakwa, Perdana Menteri terpaksa mengumumkan bantuan tunai one-off RM100 itu kerana mahu mengurangkan momentum kemarahan rakyat menjelang himpunan aman Turun Anwar, Sabtu ini.

Terdahulu, Anwar menerusi pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia pada Rabu antara lain mengumumkan bantuan tunai one-off RM100 kepada rakyat dewasa selain jaminan harga petrol turun kepada RM1.99 menjelang akhir September ini.

Turut diumumkan adalah tambahan sebanyak RM300 juta bagi program Jualan Rahmah MADANI serta tiada kenaikan tol sepanjang tahun ini.

Selain itu, Karen juga berkata, Pas dilihat gagal membuat pengumuman “biasa” yang memberi manfaat kepada rakyat ketika mereka berada dalam kerajaan persekutuan sebelum ini.

“Kerajaan Perpaduan hari ini beroperasi atas kerangka Ekonomi Madani yang menekankan kecekapan, integriti dan pengembalian hasil negara kepada rakyat, bukannya untuk dipolitikkan sebagai reaksi kepada tekanan jalanan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast