Mohd Khalid Harun

KUALA LUMPUR – Langkah penguatkuasaan di kawasan tumpuan pelancong seperti KLCC perlu dilaksanakan secara berhemah agar tidak menjejaskan imej sektor pelancongan di negara ini. 

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun mengakui keselamatan dan ketenteraman di lokasi ikonik negara merupakan tanggungjawab bersama semua pihak.

Namun, katanya, penguatkuasaan tidak boleh dilaksanakan secara keterlaluan sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra pengunjung.

“MATA menyokong penuh usaha pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan di kawasan tumpuan pelancong seperti KLCC bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Namun, kami berharap penguatkuasaan dilakukan dengan pendekatan mendidik, bukan menghukum, terutamanya melibatkan jurugambar tempatan yang mencari rezeki secara sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pelancong dan warga asing memenuhi perkarangan Suria KLCC.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu tular membabitkan seorang jurugambar sambilan yang didakwa menawarkan khidmat fotografi tanpa kebenaran di sekitar KLCC baru-baru ini.

Kejadian tersebut, katanya, mencetuskan perdebatan awam mengenai ruang yang diberikan kepada penggiat industri kecil seperti jurugambar sambilan dalam ekosistem pelancongan bandar.

Mohd Khalid menjelaskan bahawa jurugambar bebas yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong turut memainkan peranan penting dalam memperkayakan pengalaman pelawat di Malaysia.

Malah, katanya, hasil kerja jurugambar ini sering menjadi medium promosi yang berkesan apabila ia dikongsikan di media sosial dan platform digital antarabangsa.

“Jurugambar ini bukan sahaja membantu pelancong merakam kenangan indah, tetapi secara tidak langsung mereka mempromosikan negara kepada dunia. Sumbangan ini wajar diiktiraf sebagai sebahagian daripada ekonomi kreatif bandar yang menyokong sektor pelancongan,” ujarnya.

Dalam pada itu, MATA turut menggesa agar polis pelancong memperkukuh peranan mereka sebagai pemantau di lokasi tumpuan utama pelancong termasuk KLCC, Bukit Bintang dan destinasi lain.

Katanya, kehadiran anggota polis pelancong tidak hanya berfungsi memastikan keselamatan, tetapi juga sebagai fasilitator yang membantu pelawat dan menjadi rujukan kepada penggiat industri kecil seperti jurugambar.

“Polis pelancong boleh memainkan peranan yang lebih proaktif bukan sekadar memantau tetapi juga membina hubungan baik dengan pelancong dan pemain industri di lapangan. Ini mampu meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi yang selamat dan mesra,” katanya.

MATA turut menekankan bahawa keperluan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam tidak seharusnya mengorbankan sumber pendapatan rakyat.

Sebaliknya, pihak berkuasa wajar mengambil pendekatan yang lebih inklusif dengan melibatkan penggiat industri kreatif dalam merangka dasar atau garis panduan berkaitan aktiviti mereka di kawasan pelancongan.

“Pendekatan berasaskan dialog dan advokasi akan memberikan hasil yang lebih baik berbanding tindakan berasaskan hukuman semata-mata.

“Malaysia perlu mengamalkan cara yang bijak, inklusif dan seimbang dalam memastikan negara terus kekal sebagai destinasi pelancongan yang selamat, mesra dan progresif,” tambah beliau. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast