LIPIS – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 17, Jalan Sungai Koyan – Pos Betau, Sungai Koyan, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki tempatan berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Putrajaya ke Cameron Highland atas urusan kerja.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai semasa melalui jalan berselekoh gagal mengawal motosikalnya, lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang TNB yang berada di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ismail berkta, bagaimanapun mangsa dikenali sebagai Wan Ahmad Kamarul Redzuan Razali disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penunggang motosikal yang maut itu berasal dari Kuala Terengganu,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, seorang wanita maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas di KM 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Kg Sungai Yu, di sini, pada hari sama.
Menurut Ismail, hasil siasatan awal mendapati, wanita tempatan berusia 51 tahun itu dalam perjalanan dari SMK Seri Lipis, di sini selepas mengambil anaknya dan menghala balik ke rumah di Kg Persit, Merapoh, Lipis, kira-kira jam 5 petang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar longkang yang berada di tepi jalan, seterusnya kereta mangsa terbalik dalam semak,” katanya.
Jelasnya, mangsa dikenali sebagai Zainab Mamat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala dua anaknya, Rosnani Ruzlan,19, dan Rosmadiha Ruzlan,14, mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Merapoh.
“Kes masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, semua pengguna jalan raya diingatkan sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan dipandu diselenggara dengan baik dan selamat.
“Saya serta seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis mengucapkan salam takziah buat keluarga mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
















