Foto: AFP

KUALA LUMPUR – Malaysia selaku Pengerusi ASEAN perlu segera mengusulkan gencatan senjata dalam meredakan ketegangan yang sedang berlaku antara Thailand dan Kemboja ketika ini.

Menurut pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir, tindakan berasaskan ketenteraan perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum kedua-dua negara dibawa ke meja rundingan.

Menurut beliau, meskipun Malaysia mempunyai tanggungjawab besar selaku Pengerusi ASEAN untuk membuka jalan damai, namun ia perlu dilakukan dengan berhati-hati memandangkan apa yang berlaku ketika ini bukan sekadar konflik biasa, sebaliknya merupakan perang sebenar.

Katanya, ia dapat dilihat apabila kedua-dua negara sudah menutup sepenuhnya sempadan serta memanggil pulang duta masing-masing, sekali gus menunjukkan wujudnya situasi perang di bawah undang-undang antarabangsa.

“Ini sebenarnya satu ujian hebat buat negara yang mana belum pernah berlaku situasi perang sebenar antara dua negara anggota ASEAN ketika rantau ini di bawah kepengerusian Malaysia.

“Sebab itu, Malaysia tidak boleh sekadar berdiam diri atau hanya sekadar menggesa supaya ketegangan itu ditamatkan.

“Sebaliknya, Malaysia perlu segera berhubung dengan kedua-dua pihak negara baik secara diplomatik mahupun secara ketenteraan memandangkan mereka sedang berperang.

“Mungkin pihak dalam ketenteraan lebih tahu bahasa dialog untuk diplomasi dalam situasi ini dan kemudian boleh disambung oleh pihak Kementerian Luar,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam, pertempuran tentera paling berdarah antara Thailand dan Kemboja dalam tempoh lebih sedekad dilaporkan berlaku di sempadan kedua-dua negara di kawasan dikenali sebagai ‘Emerald Triangle’ atau Segitiga Zamrud.

Setakat ini, lebih 100,000 penduduk Thailand dari empat wilayah di sempadan negara itu sudah dipindahkan ke pusat perlindungan, manakala Kementerian Kesihatan Thailand mengumumkan jumlah kematian meningkat kepada 14 orang.

Pertempuran itu turut menyaksikan tentera Kemboja melepaskan tembakan roket dan peluru artileri ke arah Thailand, manakala tentera udara Thailand menghantar jet F-16 untuk melancarkan serangan udara.

Sementara itu, Salawati berkata, ketegangan di wilayah sempadan antara Thailand dan Kemboja tersebut bukan isu baharu dan sudah berlarutan sejak sekian lama.

Malah, tindakan provokasi antara kedua-dua pihak sebelum ini juga sering dilaporkan berlaku, namun tidak mencetuskan kepada tindakan ketenteraan seperti yang berlaku ketika ini.

Jelasnya, pada dasarnya, kedua-dua negara juga mahu mengelak daripada peperangan berpanjangan kerana menyedari kesannya khususnya terhadap kestabilan ekonomi dan situasi geopolitik antarabangsa ketika ini.

Dalam masa sama, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap campur tangan kuasa besar lain khususnya oleh China dan Amerika Syarikat (AS) yang boleh menyebabkan krisis tersebut semakin berpanjangan dan meruncing.

“Jika ini berlaku, ia bukan isyarat yang baik buat ASEAN.

“Sebab itu Malaysia selaku Pengerusi ASEAN perlu segera bertindak dan menggunakan kedua-dua saluran sama ada diplomatik atau ketenteraan untuk menghentikan ketegangan yang sedang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast