Reaksi bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara melepas dan membebaskan daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak ketika di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 06 MAC 2024.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan menetapkan 29 Oktober ini bagi mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Tarikh rayuan akhir itu ditetapkan selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof yang dijalankan menerusi Zoom hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi media berkata, pihak-pihak diarahkan memfailkan hujahan bertulis dalam tempoh dua minggu sebelum pendengaran rayuan.

Sementara itu, peguam Siti Sarah Khalil yang mewakili Mohd. Isa berkata, mahkamah mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan sebelum atau pada 14 Oktober manakala tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 15 Oktober.

Reaksi Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara melepas dan membebaskan daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak ketika di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 06 MARCH 2024. (GAMBAR FAIL)

Pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac tahun lalu dan petisyen rayuan pada 26 Jun lalu dengan mengemukakan 24 alasan mengapa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika membebaskan Mohd Isa.

Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang mendapati Mohd. Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dan penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Petisyen itu antara lain menyatakan, Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd. Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md. Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel.

Pihak pendakwaan menyatakan, mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.

Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.

Pendakwaan turut menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan bahawa Mohd Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.

Pada 6 Mac tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara membatalkan sabitan serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021, selepas membenarkan rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M Komathy Suppiah berpuas hati, tiada bukti yang menunjukkan terdapat kod perkataan ‘Salam’ antara Mohd. Isa dengan Muhammad Zahid yang mengaitkan responden dengan pertuduhan rasuah.

Pada 2018, Mohd. Isa, 75, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel melalui Muhammad Zahid sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Persiaran KLCC, di sini, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast