KUALA LUMPUR – Sebanyak 50,564 unit barang kes pelbagai jenis berjumlah RM721,239 dilupuskan dalam operasi bersepadu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pelupusan itu dilakukan bagi mematuhi perintah mahkamah.
Selain itu, ia mengurangkan beban penyimpanan serta mengelakkan risiko kehilangan atau kecurian barang kes.
“Kesemua barang kes ini melibatkan pelbagai jenayah, antaranya hiburan tanpa lesen, pelacuran, perjudian, penyeludupan arak dan rokok, penipuan pertukaran wang asing, termasuk jenayah siber dan komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes IPD Brickfields Kali Kedua bagi tahun ini, hari ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 108 kertas siasatan adalah di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), membabitkan 47,906 unit barang kes, termasuk wang tunai berjumlah RM19,633 yang telah dikreditkan kepada Perbendaharaan.
Sementara itu, 16 kertas siasatan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pula melibatkan 1,325 unit barang kes, dengan nilai pelupusan sebanyak RM90,674.
“Antara barang kes yang dimusnahkan termasuk telefon bimbit, komputer, modem, dokumen palsu serta VCD cetak rompak berjumlah lebih 1,200 unit.
“Turut dilupuskan ialah wang palsu bernilai USD400,000 yang dirampas dalam satu kes penipuan ‘black money’ membabitkan sindiket warga asing di Brickfields tahun lalu.
“Suspek dalam kes itu telah dijatuhkan hukuman penjara selama satu tahun tiga bulan dan akan dihantar pulang ke negara asal,” ujarnya.
Menurutnya, barang kes seperti komputer dan peralatan perjudian atas talian memerlukan pelupusan secara sistematik kerana diklasifikasikan sebagai e-waste.
Justeru, proses pelupusan kali ini turut mendapat kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan ia dilaksanakan secara selamat dan mesra alam.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara pecahan kes yang terlibat bagi pelupusan di bawah JSJ termasuk 33 kes hiburan dan noda, 27 kes perjudian, 12 kes kontraban, dua kes Bitcoin palsu serta satu kes senjata tiruan.
Sementara itu, pelupusan di bawah JSJK pula melibatkan 55 komputer, 72 telefon bimbit, lima modem, 15 dokumen palsu serta 1,243 unit VCD cetak rompak.
Proses pelupusan ke atas barang-barang rampasan ini dilakukan serentak oleh JSJ dan JSJK ke atas barang-barang rampasan yang telah selesai proses perundangan dan perbicaraan sejak tahun 2017 hingga 2025. – MalaysiaGazette
















