Penoreh, Rami Songsong sedang menoreh getah dimana punca rezeki utamanya di kebuh getah di Kampung Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah Melaka. foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Lebih separuh pengusaha pertanian di Melaka berumur 60 tahun ke atas (55.3%) manakala penglibatan belia sangat rendah, hanya 1,316 orang (10.1%), sekali gus menunjukkan kebergantungan tinggi kepada warga emas dan cabaran kesinambungan tenaga kerja masa depan.

Dapatan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Melaka yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan, pengusaha pertanian di Melaka didominasi oleh bumiputera (77.5%), diikuti Cina (19.4%), India (2.7%) dan lain-lain (0.4%).

Majoriti pengusaha telah berkahwin (75.6%) dan 42.0% berpendidikan menengah, manakala 26.3% hanya tamat sekolah rendah.

Dapatan tersebut turut melaporkan sebanyak 13,824 pegangan pertanian direkodkan di Melaka dengan 94.2 peratus atau 13,022 pegangan dikendalikan oleh individu, manakala selebihnya diuruskan oleh pertubuhan atau syarikat.

Banci Pertanian 2024 merekodkan 22,692 guna tenaga pertanian di Melaka, merangkumi Pemilik & Rakan Niaga aktif (55.4%), Pekerja Bergaji (35.7%) dan Pekerja Keluarga Tanpa Gaji (8.9%).

Daripada jumlah ini, 15,989 terlibat dalam pegangan individu dan 6,703 dalam pertubuhan.

Aktiviti utama ialah kelapa sawit (9,052 orang), getah (6,901) dan ternakan (6,625).

Pada tahun 2023, keluasan bertanam di Melaka direkodkan seluas 77,900 hektar, melibatkan 24,600 hektar oleh pegangan individu dan 53,400 hektar oleh pertubuhan.

Kelapa sawit kekal sebagai tanaman utama di Melaka (55,700 hektar), diikuti getah (9,000 ribu hektar), padi (2,300 hektar), serta tanaman lain (1,900 hektar), buah-buahan (8,100 hektar) dan sayur-sayuran (765 hektar).

Dapatan itu mendapati, pengusaha individu berdepan cabaran saiz tanah kecil, menjejaskan hasil dan pendapatan.

Keadaan ini menuntut dasar pemusatan tanah, teknologi pintar dan pendekatan koperatif bagi memperkukuh daya saing dan kelestarian sektor pertanian.

Keluasan bertuai tanaman di Melaka berjumlah 70,500 hektar, dengan 47,800 hektar diusahakan oleh pertubuhan dan 22.600 hektar oleh individu, menunjukkan dominasi pertubuhan dalam pengeluaran berskala besar.

Secara keseluruhannya, sektor pertanian Melaka mencatat nilai jualan keseluruhan RM3.6 bilion, menunjukkan prestasi kukuh manakala subsektor tanaman menyumbang RM1.6 bilion, didominasi pertubuhan (71.5%) manakala individu menyumbang RM459.4 juta.

Kelapa sawit kekal penyumbang utama (RM1.0 bilion), diikuti buah-buahan, sayur-sayuran dan getah.

Komoditi kecil seperti koko, lada dan kenaf mencatat jualan kurang RM20 ribu dan subsektor ternakan menyumbang RM1.9 bilion, dengan majoriti daripada pertubuhan (RM1.7 bilion).

Sektor perikanan menjana RM49.8 juta dan akuakultur RM37.0 juta, manakala hasil hutan bukan kayu menyumbang RM450.0 ribu.

Meskipun prestasi keseluruhan memberangsangkan, sumbangan pengusaha individu masih rendah dan memerlukan sokongan lebih berfokus bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam rantaian nilai yang kompetitif dan berimpak tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast