MEKAH – “Saya tidak pernah berhenti berdoa agar diberi peluang menziarahi pusara ibu dan ayah di Mekah.”
Demikian luahan penuh syukur Muhammad Alif Ajmal, 35, yang baru-baru ini terpilih menyertai program Umrah 1,000 Asnaf anjuran Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd.
Anak jati Kampung Pandan itu mengakui sejak pemergian ibunya pada 2018 dan bapanya pada 2022, dia berusaha mengumpul wang untuk dijadikan tambang ke tanah suci namun apakan daya jumlahnya tidak juga mencukupi.
Bagaimanapun, bapa kepada lapan orang anak itu tetap membanting tulang, memerah keringat untuk mengumpul wang demi memenuhi hasrat dan harapanya untuk menziarahi pusara kedua orang tuanya yang tercinta.
Menceritakan mengenai kisahnya itu, Muhammad Alif Ajmal Hamidan menitipkan doa di pusara ibunya, Razidah Ibrahim ketika berkunjung ke Tanah Perkuburan Al Sharayea di Mekah menerusi Program Umrah 1,000 Asnaf anjuran ikhlas.com baru-baru ini berkata, kedua-duanya meninggal dunia ketika berada di Tanah Suci Mekah.
Menurut beliau, ibunya yang merupakan seorang pesara guru di Sekolah Menengah Taman Maluri Cheras meninggal dunia di sana ketika dia berusia 28 tahun manakala bapanya yang merupakan seorang tukang masak dan berkhidmat dengan Tabung Haji (TH) pula meninggal dunia ketika dia berumur 32 tahun.
“Setiap hari saya berdoa walaupun hanya untuk melihat dan membaca doa di pusara mereka. Alhamdulillah, doa itu akhirnya dimakbulkan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, dia merasa bersyukur kerana telah terpilih untuk mendapat tajaan penuh bagi melaksanakan umrah selama sembilan hari sekaligus membuka peluang kepadanya untuk menziarahi pusara ayahanda dan bondanya di Tanah Perkuburan Al Sharayea.

Pemergian Muhammad Alif ke Tanah Suci itu tidak melibatkan sebarang kos memandangkan keseluruhan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya melalui inisiatif program berkenaan yang menyasarkan golongan asnaf.
Program Umrah 1,000 Asnaf merupakan salah satu usaha membantu golongan kurang berkemampuan menunaikan ibadah umrah sekaligus memberi ruang kepada mereka merasai sendiri pengalaman spiritual di Mekah dan Madinah.
“Saya tidak sangka akan terpilih, dan ini benar-benar hadiah paling berharga dalam hidup saya,” tambah Alif lagi dengan nada penuh sebak. – MalaysiaGazette
















