Tun Ramli Ngah.

GEORGE TOWN – Ekonomi Pulau Pinang berkembang sebanyak 4.8 peratus tahun lalu dengan jumlah Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM121.5 bilion, dipacu sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Ramli Ngah Talib berkata, peningkatan itu menunjukkan ekonomi negeri berada pada landasan kukuh dengan kadar pengangguran direkodkan hanya dua peratus, terendah dalam negara berbanding purata kebangsaan iaitu 3.2 peratus.

“Pulau Pinang juga mencatat kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 72 peratus, sekali gus memberi gambaran pasaran kerja yang aktif dan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri sempena sambutan ulang tahun ke-84 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Law Choo Kiang.

Majlis penganugerahan tersebut menyaksikan seramai 150 individu menerima Darjah Kebesaran, manakala 1,380 penerima lain dianugerahkan Bintang dan Pingat Kehormatan sepanjang istiadat empat hari bermula hari ini.

Antara penerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff.

Sementara itu, dalam ucapan sama, Tun Ramli turut menekankan kepentingan budaya kerja yang beretika dan berintegriti dalam memastikan kesinambungan kejayaan negeri.

“Pekerjaan bukan sahaja menjadi sumber pendapatan, malah mencerminkan nilai, martabat dan etika masyarakat. Budaya kerja yang cemerlang perlu terus disemai agar generasi akan datang meneruskan perjuangan membangunkan negeri dengan nilai yang betul.

“Pentadbiran negeri yang menekankan tadbir urus cekap, inovasi dan nilai kemanusiaan menjadi asas penting dalam memastikan Pulau Pinang terus berdaya saing,” katanya.

Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), struktur ekonomi Pulau Pinang kekal dipacu dua sektor utama iaitu perkhidmatan dan pembuatan.

Sektor perkhidmatan menyumbang 48.1 peratus kepada keseluruhan KDNK negeri bersamaan RM58.4 bilion, meningkat daripada RM55.7 bilion pada 2023. Sementara itu, sektor pembuatan menyumbang 46.2 peratus atau RM56.1 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast