GEORGE TOWN – Rakyat Pulau Pinang diingatkan agar terus menjunjung dan menghormati institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi tonggak kepada kestabilan negara.
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Ramli Ngah Talib berkata, institusi diraja bukan sekadar lambang kedaulatan, sebaliknya merupakan elemen penting dalam memastikan keseimbangan kuasa, tanggungjawab dan hak rakyat seperti termaktub dalam prinsip Rukun Negara.
“Penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan merupakan asas penting dalam pembinaan negara bangsa dan kestabilan sistem kenegaraan kita.
“Institusi yang berdaulat ini bukan hanya warisan sejarah, tetapi sebahagian daripada struktur pemerintahan yang menjamin keseimbangan antara kuasa, tanggungjawab dan hak rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri bersempena sambutan ulang tahun ke-84 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Law Choo Kiang.
Majlis penganugerahan tersebut menyaksikan seramai 150 individu menerima Darjah Kebesaran, manakala 1,380 penerima lain dianugerahkan Bintang dan Pingat Kehormatan sepanjang istiadat empat hari bermula hari ini.
Antara penerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Mohd. Yussof Latiff.
Mengulas lanjut Abdul Ramli berkata, peranan institusi diraja sebagai penjaga keluhuran Perlembagaan, pemelihara nilai tradisi serta penyatu rakyat perlu dihargai dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Prinsip ini telah termaktub dalam salah satu daripada lima Rukun Negara, yang mana wajar difahami, dihargai serta dipelihara demi kelangsungan negara,” ujarnya.
Mengulas sambutan Bulan Kebangsaan yang bakal tiba, beliau turut menyeru rakyat agar memperbaharui semangat patriotisme dan menzahirkan kecintaan terhadap tanah air.
“Kemerdekaan bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi juga amanah yang perlu dipertahankan untuk memastikan keamanan dan kemajuan negara terus terpelihara.
“Saya berharap keamanan, kestabilan dan kemakmuran negeri Pulau Pinang ini akan terus berkekalan,” katanya. – MalaysiaGazette















