KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan semua pihak yang terlibat dalam insiden pertengkaran antara seorang jurulatih selam dan pelancong asing di Semporna, Sabah perlu disiasat mengikut undang-undang dan garis panduan ditetapkan.
Mengulas mengenai video kejadian yang tular di media sosial, beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan mengesahkan ia kini sedang disiasat secara rasmi oleh pihak berkuasa.
“Saya ingin menegaskan sekiranya mana-mana pihak didapati bersalah atau melanggar undang-undang, tindakan tegas mesti diambil tanpa pilih kasih.
“Siasatan mesti berjalan secara adil, telus dan mengikut proses undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut King Sing, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada pertikaian semasa perjalanan untuk menyelam apabila sebuah tangki udara diletakkan di lokasi yang salah di dek bot sebelum terjatuh dan mencederakan kaki jurulatih berkenaan.
Difahamkan pertikaian itu kemudiannya bertukar menjadi insiden fizikal.
Beliau menegaskan, kementeriannya akan memantau rapi kes berkenaan selain menilai tahap pematuhan garis panduan keselamatan dan operasi aktiviti pelancongan di negara ini.
“Saya menyeru semua pengendali pelancongan untuk mematuhi sepenuhnya garis panduan operasi dan keselamatan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.
“Pelancong juga perlu mematuhi arahan jurulatih dan pemandu pelancong agar tidak membahayakan diri sendiri atau orang lain,” ujarnya.
Beliau turut memberi peringatan kepada pengusaha pelancongan agar menjaga profesionalisme serta menghormati tetamu.
“Kekerasan, penghinaan atau ugutan tidak boleh diterima sama sekali kecuali dalam keadaan mempertahankan diri. Sekiranya berdepan tingkah laku biadab, tangani dengan tenang dan cuba selesaikan secara aman,” ujarnya.
Katanya lagi, kementerian akan terus bekerjasama dengan pemain industri bagi menambah baik pengawasan selain mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan lesen, termasuk permit menyelam, tauliah pemandu pelancong dan kelulusan agensi pelancongan.
“Agensi pelancongan mesti menggunakan kapal atau bot berlesen sendiri dan sebarang pelanggaran tidak akan dikompromi,” tegasnya.
Dalam pada itu, kata King Sing, Malaysia dikenali pada peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan mesra dan selamat, justeru semua pihak perlu memainkan peranan dalam menjaga imej negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Malaysia terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya. Kita mahu setiap pelawat memahami serta menghormati undang-undang, budaya dan norma masyarakat kita.
“Marilah kita berganding bahu mewujudkan persekitaran pelancongan yang selamat, profesional dan saling menghormati agar semua pihak dapat menikmati pengalaman terbaik di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette














