DUBLIN – Persatuan bola keranjang Ireland sedang menimbang langkah seterusnya selepas ia diundi dalam kumpulan yang sama dengan Israel pada peringkat kumpulan kelayakan kejohanan bola keranjang wanita Eropah.
Persatuan itu berkata, ia sedar tentang situasi kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza, namun tidak mengesahkan pasukan itu akan mengikuti jadual perlawanan.
Katanya, persatuan itu ‘sedang menunggu penjelasan beberapa perkara’ daripada Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) Eropah.
Organisasi itu dijangka mengemukakan situasi terkini pada minggu depan.
Jurucakap Jabatan Kebudayaan, Komunikasi dan Sukan berkata, persatuan bola keranjang Ireland merupakan sebuah badan bebas dan berautonomi dalam membuat keputusan termasuk perkara-perkara yang membabitkan penyertaan dalam pertandingan sukan peringkat antarabangsa.
“Baik Menteri mahupun Jabatan mempunyai sebarang peranan dalam perkara ini dan tidak terdapat komunikasi berhubung perkara itu antara jabatan dan Persatuan Bola Keranjang Ireland,” katanya.
Skuad perempuan Ireland berada pada rangking ke-81 dunia manakala Israel berada pada kedudukan ke-47.
Kedua-dua pasukan dijadual bertemu pada 18 November ini di Israel pada peringkal awal pusingan kelayakan itu.
Persatuan itu berhadapan dengan denda sehingga €80,000 jika gagal bermain selepas kejohanan kelayakan bermula, katanya.
“Kegagalan bermain dalam perlawanan timbal balik akan didenda sehingga €100,000 dan disingkirkan untuk dua kejohanan bola keranjang Eropah seterusnya,” tambahnya.
Sekiranya persatuan itu memilih untuk menarik diri daripada kempen kelayakan kejohanan Bola Keranjang Euro FIBA 2027 sebelum ia bermula, denda sehingga €30,000 akan dikenakan selain sekatan lain daripada FIBA Eropah yang mungkin membabitkan disingkirkan daripada kejohanan pada masa depan. – Agensi
















