Peserta Perhimpunan ‘Turun Anwar’ sudah mula berkumpul di sekitar perkarangan Sogo, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan segelintir tokoh politik yang memilih menjadikan perhimpunan jalanan sebagai pentas ekspresi politik, menggantikan peranan institusi demokrasi yang sah seperti Parlimen.

Dalam masa sama, Presidennya, Jais Abdul Karim mempersoalkan kewajaran tindakan sesetengah pemimpin politik yang memilih melaungkan slogan-slogan lapuk dari pentas sementara di atas jalan raya.

Sedangkan, ujar beliau, pemimpin politik berkenaan boleh menjadikan Parlimen sebagai tempat yang sah dan bermaruah untuk perbahasan mengenai dasar dan kepimpinan negara.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim

Tambahnya, kepimpinan bukan diukur melalui siapa yang paling lantang bersuara di jalanan, tetapi siapa yang paling ikhlas dan bijaksana mewakili rakyat di Parlimen serta menghormati keputusan peti undi.

Beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap pengorbanan yang ditanggung oleh para penyokong biasa, yang ramai daripadanya tidak jelas mengenai isu sebenar yang diperjuangkan.

“Mereka sanggup merentasi ratusan kilometer, meninggalkan pekerjaan dan komitmen harian, hanya untuk dijadikan latar gambar di media sosial yang dirancang rapi oleh para penasihat politik.

“Adakah ini benar-benar lambang kuasa rakyat atau sebenarnya manifestasi keangkuhan yang dibungkus kemas oleh penasihat yang lebih gemar membakar emosi berbanding mencetuskan rasional?” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ribuan rakyat hari ini menyertai demonstrasi Himpunan Turun Anwar yang digerakkan oleh Pas di sekitar ibu negara sebagai manifestasi rasa tidak puas hati terhadap Kerajaan Madani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal mentadbir negara.

Sementara, Jais menambah, dalam sebuah demokrasi yang matang, ukuran sebenar kepimpinan adalah melalui dasar yang jelas, komitmen terhadap ketelusan dan penghormatan terhadap proses institusi.

Katanya, kredibiliti seseorang pemimpin tidak diukur menerusi aksi dramatik di jalanan atau bilangan pengikut yang keliru.

Malangnya, tambah beliau, bagi segelintir pemimpin, Parlimen terlalu tertib untuk sandiwara, manakala peti undi terlalu jujur untuk muslihat.

“Maka, jalan raya pun dijadikan pilihan sebagai tempat di mana akal diganti dengan gema, dan tanggungjawab diganti dengan sorakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin politik kembali kepada landasan perbincangan yang membina.

Ujarnya, rakyat berhak mendapat pemimpin yang memperkukuh demokrasi melalui integriti, bukan yang memperalatkan demokrasi demi kepentingan peribadi atau persembahan politik semata-mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast