Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir. -Foto: SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis yang sedang menjalankan siasatan kes kemalangan di sekolah melibatkan murid, Zara Qairina Mahathir.

JPN Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu penting bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar dan keadilan dapat ditegakkan.

Menurutnya, tumpuan JPN Sabah pada ketika ini adalah untuk memastikan kesejahteraan keluarga terpelihara.

“Bantuan segera telah disalurkan kepada keluarga.

“JPN Sabah turut menganjurkan beberapa siri ziarah cakna bertujuan untuk menyantuni keluarga dan berkongsi perkembangan terkini kes. Khidmat sokongan psikosial turut disediakan,” katanya.

Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, pasukan petugas khas turut diwujudkan bagi membantu pihak sekolah melaksanakan intervensi krisis dan trauma.

Ia katanya, bagi membantu murid, guru dan warga sekolah yang terkesan akibat kejadian ini.

“JPN Sabah mendoakan semoga seluruh ahli keluarga Zara Qairina diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan kejadian seorang pelajar sekolah di Sabah yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah tersebut minggu lalu, yang dikaitkan dengan kejadian buli.

Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan tindakan sewajarnya berhubung kes itu akan diambil berlandaskan undang-undang.

Menurut beliau, kes berkenaan kini sedang dalam siasatan polis, manakala KPM melalui JPN Sabah sentiasa memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang berjalan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast