GEORGE TOWN – Lima individu parah manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan dari persimpangan lampu isyarat Jalan Perak hingga ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, sebuah SUV jenis Proton X70 yang dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun dipercayai telah merempuh sebuah kereta Perodua Myvi dari arah belakang ketika tiba di simpang lampu isyarat Jalan Perak.
Jelasnya, kenderaan SUV itu kemudiannya meneruskan perjalanan dan melanggar dua buah motosikal, masing-masing jenis Honda Vario dan Honda C100, di Jalan Perak sebelum merempuh sebuah lagi kereta jenis Honda City di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu arah Batu Uban.
“Impak kemalangan itu menyebabkan pemandu SUV dan pemandu Honda City berusia 29 tahun mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Selain itu, masing-masing penunggang motosikal berusia 29 dan 56 tahun serta seorang pembonceng remaja lelaki berumur 15 turut parah dalam kejadian sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, pemandu Myvi yang merupakan wanita tempatan berusia 44 hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya. – MalaysiaGazette















