Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor

KUALA LUMPUR –   Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju untuk mengekalkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17).

Katanya, kerjasama yang terjalin selama ini telah terbukti membawa kestabilan dan kemajuan di Sabah.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi GRS meletakkan syarat kerjasama berkenaan mestilah diterajui oleh GRS yang merupakan gabungan parti-parti tempatan di Sabah.

“Dalam peristiwa Langkah Kinabalu yang berlaku pada Januari 2023, GRS yang mendapat sokongan padu daripada Pakatan Harapan ketika itu, dapat meneruskan pentadbiran kerajaan negeri hingga ke hari ini.

“Sejak itu, kerjasama padu GRS-PH yang terbukti membawa kestabilan dan kemajuan kepada negeri Sabah, akan terus kita kekalkan sebagai sebuah kerjasama yang tulen dan yang diyakini mampu membawa banyak kebaikan dan manfaat kepada negeri Sabah.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada pemimpin-pemimpin PH Sabah daripada GRS,” katanya dalam ucapan dasarnya sempena Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu, hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan Hajiji itu belum menjawab persoalan hubungan kerjasama GRS-PH.

Ini kerana pada masa yang sama PH turut berunding dengan Barisan Nasional (BN) Sabah bagi menghadapi PRN17, sedangkan BN Sabah menolak kerjasama dengan GRS.

Hajiji sebelum ini menjelaskan pihaknya sudah mengadakan beberapa kali perbincangan dengan PH termasuk bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan hanya menunggu keputusan akhir.

Ketua BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ,gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam pilihan raya negeri, sebaliknya hanya akan mempertimbangkan kerjasama selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Namun begitu, Perdana Menteri berharap ketiga-tiga gabungan dapat bekerjasama menghadapi pilihan raya tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast