Amirudin Shari

GOMBAK – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di ibu negara semalam sebagai reaksi kepada kegagalan parti pembangkang mengekalkan pengaruh dan momentum politik mereka.

Menurut beliau, walaupun mereka memiliki pelbagai saluran lain untuk menyampaikan pandangan, mereka tetap memilih jalan untuk berhimpun.

“Dalam sejarah Malaysia, demonstrasi aman pernah berlaku dan itu merupakan hasil konfigurasi reformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Tapi saya rasa secara realitinya kerana pembangkang kehilangan momentum sebab itu mereka terpaksa membuat himpunan untuk menunjukkan ramai walaupun ada platform lain yang selalunya mereka gunakan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) Mall di sini hari ini.

Tegasnya, kerajaan berpegang kepada prinsip mentadbir berdasarkan fakta dan data, bukan berdasarkan sentimen.

“Kerajaan menyampaikan sikap dengan tanggungjawab membuat keputusan dengan penuh responsibiliti agar tidak menyusahkan orang lain di masa depan,” katanya.

Untuk rekod, himpunan Turun Anwar yang dianjurkan gabungan parti pembangkang semalam dihadiri ribuan peserta dari seluruh negara.

Sejak pagi, peserta berkumpul di empat lokasi sekitar pusat bandar sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka bagi menuntut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast