Keadaan kereta Honda Civic yang terhumban di dalam gaung dekat Jalan Kilang Kelapa Sawit, Gugusan Rasau Kerteh

KUALA LUMPUR – Seorang ibu dan bayi perempuannya berusia 18 bulan maut, manakala empat lagi ahli keluarga mereka cedera dalam kemalangan di Jalan Kilang Kelapa Sawit dekat Gugusan Rasau Kerteh, Dungun, Terengganu kira-kira 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata, Nur Suhailla Azman, 25, maut di tempat kejadian, manakala bayi perempuannya Nur Aira Humaira Mohamad Sharool meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Tambah beliau, ibu mertua allahyarham, Timah 73, dan anaknya Ruzaimi Abd. Rashid dilaporkan cedera parah.

Bagaimanapun, suami allahyarham, Sharool Nizam Hamzah, 32, dan anak sulung mereka Nur Aisya Humaira, 3, hanya mengalami kecederaan ringan.

“Difahamkan ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki sebuah kereta sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Kerteh 4 dari bandar Dungun.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Honda Civic dipandu Mohamad Sharool dikatakan tiba-tibat hilang kawalan sebelum terbabas lalu terhumban ke dalam gaung.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan beberapa mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan,” katanya.

Maizura berkata mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan, manakala mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast