BANGI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bekerjasama dengan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyelesaikan isu papan tanda yang menjadi vandalisme oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti tular di laman sosial.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya telah mengarahkan JPJ Pahang untuk mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan bagi memantau papan tanda yang ditampal dengan pelekat serta menguatkuasakan undang-undang.
Menurut beliau, isu vandalisme terhadap papan tanda sememangnya bukan berada di bawah bidang kuasa JPJ, sebaliknya tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal seperti JKR.
“Vandalisme bukan di bawah kuasa JPJ kerana kita lebih kepada penguatkuasaan peraturan jalan raya. Tapi kalau semasa rondaan kita mengesan perbuatan itu sedang berlaku, kita boleh tahan.
“Saya sudah arahkan JPJ Pahang untuk berbincang dengan majlis daerah dan JKR bagi selesaikan isu papan tanda ini,” katanya kepada media selepas program Hari Keluarga JPJ (HKJPJ) 2025 di Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu papan tanda JPJ yang ditutup dengan pelekat di Jalan Cameron Highlands, sempadan negeri Perak hingga tular.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, semakan mendapati, hanya satu papan tanda dikenal pasti menjadi sasaran vandalisme dan usaha penggantian serta konservasi sudah dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
Ditanya mengenai HKJPJ 2025 beliau berkata, ia merupakan satu program yang julung kali diadakan selepas 30 tahun menerima penyertaan lebih 3,000 pegawai dan anggota JPJ dari seluruh negara.
Program selaras Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) itu bertujuan membudayakan hidup sihat dalam kalangan warga JPJ selain mengeratkan silaturahim. – MalaysiaGazette
















