KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 amat bimbang terhadap peningkatan ketegangan antara Kerajaan Thailand dan Kerajaan Kemboja yang telah mengakibatkan peningkatan jumlah korban serta kemusnahan harta benda dan perpindahan besar penduduk di kawasan sempadan.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia bersedia untuk meneruskan usaha melalui saluran Pengerusi ASEAN dalam memudahkan Thailand dan Kemboja serta ahli ASEAN untuk menyambung rundingan dan seterusnya menamatkan pertempuran.
“Kami sekali lagi merayu kepada kedua-dua pihak agar menunjukkan tahap kawalan diri yang maksimum serta melaksanakan gencatan senjata secara segera dan tanpa syarat, dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan usaha tersebut.
“Kami turut menggesa kedua-dua pihak untuk kembali ke meja rundingan demi mengembalikan keamanan dan kestabilan berlandaskan semangat kekeluargaan ASEAN, perpaduan dan semangat kejiranan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Bangkok dan Phnom Penh bertelagah berhubung kawasan yang dipertikaikan sejak zaman penjajahan Perancis yang menetapkan sempadan antara kedua-dua negara lebih satu abad lalu.
Sejak pertempuran tercetus pada Khamis, lebih sedozen orang dilaporkan terbunuh, berpuluh-puluh cedera dan lebih 150,000 orang awam telah dipindahkan. Pertempuran masih berterusan hingga semalam.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengutuk keganasan tersebut, dengan Setiausaha Agung António Guterres menawarkan bantuan beliau “dalam sebarang usaha ke arah penyelesaian damai bagi pertikaian ini,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya pada Sabtu. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast















