KUALA LUMPUR – Usaha menyelesaikan dan menangani kes buli di sekolah perlu menjadi agenda utama di peringkat nasional.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan kes buli di sekolah kini memerlukan tindakan segera khususnya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Timdakan itu bagi memastikan pelajar dilindungi daripada risiko bahaya dari segi fizikal, emosi dan psikologi.
“Kanak-kanak tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada bahaya fizikal, emosi atau psikologi di dalam institusi yang sepatutnya membentuk pertumbuhan, nilai dan masa depan mereka. Kami menggesa KPM untuk memberikan tumpuan yang lebih sewajarnya bagi menangani isu buli di sekolah.
“Buli di sekolah bukan sekadar isu disiplin, tetapi masalah sosial yang serius dan boleh meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa serta merosakkan ekosistem pembelajaran,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam masa yang sama, beliau menggesa KPM melaksanakan dasar antibuli di semua sekolah merangkumi langkah pencegahan menerusi pendidikan, kesedaran dan intervensi awal kerana tindakan disiplin semata-mata tidak lagi memadai.
“Perlu ada akauntabiliti dan benar-benar telus dalam menangani setiap laporan berkaitan kes buli di sekolah. Ibu bapa perlu dimaklumkan dan dilibatkan apabila insiden buli berlaku, manakala pelajar pula tidak bimbang akan berdepan masalah jika melaporkan kes itu.
“Persekitaran sekolah yang selamat dan mendukung kesejahteraan bukan satu kemewahan, tetapi hak asas setiap pelajar,” tambahnya.
Selain itu beliau turut mencadangkan supaya satu pangkalan data kebangsaan diwujudkan bagi mengesan kes buli, memantau trend dan memastikan tindakan susulan yang sewajarnya. diambil.
“Hanya dengan menangani masalah itu menerusi strategi nasional yang lebih jelas dan berterusan, kita dapat melindungi anak-anak kita serta membantu mereka maju dan berjaya,” katanya.
Baru-baru ini, seorang pelajar Zara Qairina, 13, meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 17 Julai lalu di Papar, Sabah.
Ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45, yang juga seorang guru menggesa siasatan telus, adil dan saksama terhadap kes kematian anak tunggalnya itu yang didakwa menjadi mangsa buli.- MalaysiaGazette
















