Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUANTAN – Kebajikan rakyat di negeri ini terus terpelihara dan dinikmati meliputi semua kaum dan bangsa di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga hari ini.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata Wan Rosdy antara Menteri Besar yang terkehadapan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Pahang.

”Kebajikan rakyat di Pahang terpelihara dan kita nampak macam-macam inisiatif baru yang diperkenalkan bukan hanya merujuk kepada satu-satu kaum, satu-satu bangsa saja tetapi seluruh rakyat di Pahang dan hasilnya kita boleh tengok.

”Perolehan yang dicapai daripada Negeri Pahang antara yang terbaik di Malaysia. Jadi kalau dikatakan menerajui kerajaan dan tidak fokus kepada Negeri Pahang, saya rasa mereka mungkin hidup dalam dunia mimpi dalam mimpi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi tindakan pembangkang di negeri ini yang mendakwa kempen Pas teraju Pahang mendapat tempat di hati rakyat sejurus Majis Perasmian Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Asyraf memaklumkan rundingan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah hampir dimuktamadkan.

“Mungkin hanya tak sampai 5 peratus yang tak selesai. 95 peratus perbincangan sudah selesai, hanya tinggal sedikit sahaja lagi. Kita masih terus berunding dengan semua parti,” jelasnya.

Selain itu katanya Asyraf berkata UMNO perlu bermuhasabah dan menemukan nilai perpaduan sebagai teras utama dalam usaha membangkitkan semula kekuatan parti supaya kembali kepada akar perjuangan parti.

Jelasnya kekalahan yang dialami parti sebelum ini harus dijadikan pengajaran untuk UMNO kembali kuat.

“UMNO kena kembali kepada akar perjuangannya, kembali kepada rakyat dan bermuhasabah.

”Apa yang berlaku sebelum ini harus jadi pedoman. Rakyat hakikatnya tahu pencapaian yang kita laksanakan semasa memerintah. Kita tidak pernah mendiskriminasi sesiapa.

”Kita bawa kestabilan dengan nilai toleransi dan saling menghormati sebagai asas negara bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast