Seramai 60 peserta pemimpin belia di negeri ini menjayakan Program Retreat Pemimpin Belia Negeri Pahang 2025 di Kem Batalion 2 Rejimen 505 Askar Wataniah, Kem Susur Tembeling bermula 25 Julai lalu.

JERANTUT – Seramai 60 peserta pemimpin belia di negeri ini menjayakan Program Retreat Pemimpin Belia Negeri Pahang 2025 di Kem Batalion 2 Rejimen 505 Askar Wataniah, Kem Susur Tembeling di sini selama tiga hari.

Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang, Saharuddin Ahmad berkata, program tersebut merekod sejarah tersendiri apabila MBN Pahang berjaya menjadi peneraju kerjasama strategik  bersama Askar Wataniah pertama dalam negara.

Program tersebut berteraskan modul latihan ketenteraan ringan yang menekankan aspek pembinaan disiplin, ketahanan fizikal, semangat berpasukan dan kemahiran kepimpinan.

“Program  ini bukan sahaja memperkasa potensi kepimpinan dalam kalangan belia, malah mampu melahirkan barisan pemimpin masa depan yang berdisiplin, berani dan berdaya tahan.

“Pengalaman sebegini memberi peluang kepada belia untuk mengenali potensi diri mereka dalam suasana luar kebiasaan, sekali gus membentuk jati diri dan semangat patriotisme,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut Saharuddin berkata, MBN telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama pihak Rejimen 505 Askar Wataniah pada Februari lalu.

Melalui kerjasama strategik berkenaan, MBN Pahang memainkan peranan dalam membantu menyediakan para belia di peringkat daerah untuk menyertai pasukan Askar Wataniah secara lebih terancang dan berstruktur.

“Inisiatif kerjasama strategik antara MBN Pahang dan Rejimen 505 Askar Wataniah merupakan yang pertama seumpamanya pernah diadakan di negara ini dan boleh dijadikan model kepada semua MBN di seluruh Malaysia.

“Kerjasama ini amat penting dalam membuka ruang penyertaan anak muda ke arah pembinaan kerjaya ketenteraan separuh masa, yang bukan sahaja membentuk disiplin tinggi tetapi juga memperkukuh jati diri sebagai warga negara yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar retreat itu menjadi platform terbaik dalam melahirkan pemimpin belia yang berjati diri, cekal dan berjiwa patriotik.

Program tersebut turut membuka peluang kepada peserta untuk mengenali lebih dekat peranan dan fungsi Askar Wataniah dalam menjaga keselamatan negara, melalui sesi Promosi Wataniah yang diadakan pada hari terakhir.

Retreat yang julung kali dianjurkan itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform strategik memperkukuh jaringan kepimpinan belia di seluruh Negeri Pahang.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Nor Azli Mohamad Daud.

Hadir sama Leftenan Kolonel Mohd Shaari Abdul Ghani serta  barisan anggota dan jurulatih Rejimen 505 Askar Wataniah, kepimpinan tertinggi Majlis Belia Negeri Pahang serta wakil-wakil dari badan gabungan MBN Pahang.

Program selama tiga hari ini bermula pada 25 Julai lalu memberi pendedahan kepada peserta dalam aspek kepimpinan, ketahanan fizikal dan mental serta semangat kerjasama melalui pelbagai aktiviti berkonsepkan ketenteraan.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk orientasi kem, merentas halangan, latihan kawad kaki, Daktis Challenge, Dapur Idaman dan promosi kerjaya bersama Askar Wataniah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast