Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang meminta penjelasan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 bertujuan membuka ruang pelaksanaan tahanan di rumah sebagai alternatif kepada hukuman penjara.

Hassan Abdul Karim berkata, pindaan tersebut yang meluaskan skop Perintah Kehadiran Wajib (PKW) kepada pesalah yang dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun berbanding had tiga tahun sebelum ini menimbulkan persoalan mengenai niat sebenar di sebalik pelaksanaannya.

“Saya ingin tahu apa ‘niat’ sebenar Kementerian Dalam Negeri. Adakah ini satu jalan untuk memperkenalkan tahanan rumah sebagai ganti pemenjaraan? Kalau begitu, ia wajar diperjelaskan kepada Parlimen dan rakyat,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

PKW adalah perintah mahkamah yang membenarkan pesalah yang telah disabitkan kesalahan dan boleh dikenakan hukuman penjara, untuk menjalani kerja wajib sebagai alternatif kepada hukuman penjara.

Hassan turut membangkitkan persoalan mengenai tafsiran kategori pesalah yang layak di bawah perintah itu termasuk mereka yang mendapat pengurangan hukuman melalui Lembaga Pengampunan.

“Sebagai contoh, jika seseorang dihukum penjara 12 tahun tetapi kemudian dikurangkan kepada enam tahun, adakah individu ini kini layak menjalani PKW kerana hukumannya berada di bawah 10 tahun?” soalnya.

Beliau juga menggesa KDN memperjelas bentuk kerja wajib yang dikenakan di bawah perintah itu, sama ada melibatkan khidmat masyarakat seperti pembersihan rumah ibadat atau program pembelajaran seperti mengikuti kursus akademik.

“Kalau seseorang mengikuti program pembelajaran, contohnya kursus PhD, adakah ia boleh dikira sebagai memenuhi syarat PKW? Perlu ada garis panduan yang jelas,” katanya lagi.

RUU tersebut antara lain memperkenalkan pelbagai bentuk pemulihan, termasuk kerja khidmat masyarakat dan program pembelajaran sebagai sebahagian daripada hukuman alternatif bagi mengurangkan kesesakan penjara dan meningkatkan keberkesanan pemulihan pesalah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast