KUALA LUMPUR – Kerajaan komited meneruskan pelaksanaan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) tahun ini bagi meringankan beban lebih 330,000 pekebun kecil di seluruh negara yang terkesan akibat cuaca tidak menentu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak RM264.91 juta diperuntukkan untuk inisiatif itu, melibatkan pekebun kecil di bawah seliaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
“BMT ini bukan sekadar bantuan kewangan ‘one-off’. Ia adalah talian hayat – yang menjadi penyambung rezeki saat musim hujan menggugat hasil tuaian. Ia adalah wajah sebenar keprihatinan Kerajaan Madani yang tidak pernah lupa tentang masyarakat desa,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat Risda, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ketidakstabilan harga komoditi serta cabaran iklim memberi tekanan berterusan kepada golongan pekebun kecil daripada segi hasil dan pendapatan.
Justeru katanya, bantuan seperti BMT menjadi satu bentuk intervensi penting dalam dasar pembangunan luar bandar kerana ia bukan sahaja berfungsi sebagai sokongan ekonomi, malah pengiktirafan terhadap keringat pekebun kecil yang menjadi nadi sektor pertanian negara.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib. – MalaysiaGazette















