Suspek direman satu hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini kerana disyaki memukul anak tirinya dan mengugut untuk menikamnya menggunakan pisau di rumahnya, semalam.

MELAKA – Seorang lelaki direman sehari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini kerana disyaki memukul anak tirinya dan mengugut untuk menikamnya menggunakan pisau di rumahnya semalam.

Perintah reman terhadap peniaga lori air batu berusia 41 tahun itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Menurut sumber, kejadian berlaku di rumahnya di Taman Desa Bertam, kira-kira 11.40 pagi semalam selepas suspek berang apabila mengetahui anak lelaki tirinya berusia 15 tahun kecewa dengan perkahwinan suspek dan ibu kandungnya berusia 39 tahun, empat tahun lalu.

“Keluhan pelajar sekolah itu didengari abang ipar suri rumah berkenaan yang kemudiannya menceritakannya kepada suspek. Suspek yang berang kemudian dipercayai telah memukul mangsa menggunakan tangan di kepala dan badan,” katanya.

Menurutnya, wanita itu yang juga pengadu kes cuba meleraikan pergaduhan itu sebelum mangsa anak ketiga daripada lima beradik itu lari ke dapur.

“Suspek mengejar mangsa dan mengambil sebilah pisau pemotong sayur menyebabkan ibu remaja berkenaan panik dan menjerit meminta anak itu lari keluar menyelamatkan diri.

“Bapa tirinya terus meletakkan pisau di atas meja dan mengejar mangsa sehingga ke luar rumah sebelum abang ipar pengadu mengarahkan mangsa masuk ke dalam rumah bagi menjelaskan perkara itu kepada bapa tirinya,” katanya.

Selepas mendengar penjelasan mangsa, suspek meminta isterinya menasihati anaknya itu supaya tidak mengulangi perbuatannya atau dia mungkin akan menikam mangsa jika kejadian serupa berulang.

Mangsa dan ibunya kemudian membuat laporan polis tengah hari semalam sebelum suspek ditahan sepasukan polis dari dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, katanya.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapat negatif dadah. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast