KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memperkukuh peranan golongan Hawa dalam semua sektor menerusi Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030.
Ia dilihat sebagai pemacu penting ke arah pencapaian minimum 30 peratus perwakilan wanita di Parlimen, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut beliau, peranan wanita dalam dasar dan keputusan negara perlu dipergiat sebagai langkah strategik membina masyarakat lebih inklusif serta mengangkat martabat wanita sebagai tulang belakang pembangunan negara.
“Dasar ini bukan sekadar dokumen tetapi pelan tindakan menyeluruh untuk memastikan tiada wanita yang ketinggalan, sama ada dari segi ekonomi, kepimpinan, keselamatan mahupun kesejahteraan.
“Pemerkasaan wanita bermakna memperkukuh negara,” katanya yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Walkabout Khas Dasar Wanita Negara (DWN) di Lobi Utama Parlimen hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat II, Alice Lau Kiong Yieng.
Menurut statistik terkini, hanya 13.5 peratus Ahli Dewan Rakyat dan 16.1 peratus Ahli Dewan Negara terdiri daripada wanita.
Wan Azizah berharap DWN dapat menyemarakkan sokongan semua pihak, khususnya ahli politik untuk merealisasikan sasaran minimum 30 peratus penyertaan wanita dalam Parlimen.
Dasar yang dilancarkan Perdana Menteri pada 8 Mac lalu itu memberi tumpuan kepada empat bidang utama ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan disokong oleh 12 pemacu perubahan termasuk pendekatan bajet responsif gender dan audit gender.
“Dengan tema ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’, DWN diharap menjadi platform reformasi menyeluruh yang bukan sahaja meningkatkan keadilan sosial, malah melonjakkan pertumbuhan negara secara mampan. – MalaysiaGazette
















