Tertuduh, V Elanggo berdepan 58 pertuduhan menipu melibatkan kerugian kira-kira RM1.3 juta, lima tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Hubungan dua rakan sekolah berakhir di mahkamah apabila seorang bekas kakitangan sebuah sekolah antarabangsa mengaku tidak bersalah atas 58 pertuduhan menipu melibatkan kerugian kira-kira RM1.3 juta, lima tahun lalu.

Tertuduh, V Elenggo seorang warga emas dari Seremban, Negeri Sembilan membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret Sungai Petanu, di sini, hari ini.

Difahamkan Elenggo didakwa memperdaya mangsa, T. Chandrarajan, 56, yang juga bekas rakan sekolahnya untuk membiayai pelbagai projek di sekolah antarabangsa terbabit, termasuk pemasangan sistem dan peralatan kemudahan.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa, seorang ahli perniagaan, menyerahkan wang berjumlah kira-kira RM1.3 juta secara berperingkat melalui pindahan dalam talian ke pelbagai akaun bank milik tertuduh antara Februari hingga Julai 2020.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adlin Sufiya Kamaruzzaman dan Nur Hazwani Md Noor, manakala tertuduh diwakili peguam P. Suresh.

Dalam prosiding, Suresh memohon agar jumlah wang jaminan dikurangkan dengan alasan ia hanya bertujuan memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah sepanjang perbicaraan.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan keseluruhan sebanyak RM125,500 bagi semua 58 pertuduhan dan menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast