KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah menunjukkan contoh dan teladan kepimpinan serantau yang proaktif dan progresif sehingga membolehkan rundingan diplomatik yang mencapai dalam gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand dicapai.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Malaysia berjaya memainkan peranan utama sebagai perantara dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang berlangsung di Kuala Lumpur.
“Rundingan yang dimulakan sejak awal Mei lalu mencapai kejayaan signifikan hari ini apabila kedua-dua negara bersetuju menamatkan ketegangan di kawasan sempadan yang telah berlarutan selama beberapa bulan.
“Persetujuan ini turut membuka laluan kepada kerjasama keselamatan dan ekonomi rentas sempadan yang lebih kukuh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas persetujuan Thailand dan Kemboja untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuatkuasa serta merta mulai pukul 12 tengah malam waktu tempatan (24.00) hari ini (28 Julai).
Mujahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengutamakan pendekatan hikmah, diplomasi berprinsip dan kesediaan Malaysia menjadi ‘ruang neutral’ untuk rundingan sulit serta terbuka.
“Saya percaya kestabilan serantau adalah tanggungjawab bersama. Malaysia komited menjadi jambatan perdamaian dan bukan penghasut permusuhan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















