KUANTAN – Perbuatan berhimpun bagi menjatuhkan seseorang pemimpin adalah ditegah dalam Islam, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang itu berkata, peristiwa beberapa perhimpunan pada zaman permulaan Islam yang mengakibatkan terkorbannya khalifah-khalifah Islam dan keluarga Rasulullah SAW wajar diingati dan diambil pengajaran.
“Himpunan menjatuhkan Khalifah ketiga Saidina Osman. Betul mereka berjaya mendapat sambutan. Walaupun Saidina Ali bersama anak-anaknya Al-Hassan dan Al-Hussain serta pengikut mempertahankan khalifah akhirnya Saidina Osman ditikam sedang Baginda beribadah membaca al-Quran.
“Himpunan Syifin dek kerana kegagalan Muawiah, sahabat Rasulullah SAW mengakuri dan memberi baiah terhadap khalifah keempat Saidina Ali. Walaupun ia telah diminta dan diberi nasihat agar berbuat demikian namun mereka bangkit membantah dan berhimpun menyerang terhadap kepimpinan khalifah.
“Akhirnya, nasib Saidina Ali bersama pengikut dan keluarga Baginda turut terancam dan terbunuh seperti Khalifah Osman,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.
Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan media mengatakan Pas Pahang sedang merangka penganjuran himpunan di Jelai, Lipis tidak lama lagi.
Tegasnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Menteri Besar bersama kepimpinannya telah berusaha melakukan pelbagai perkara bagi kemaslahatan agama Islam di negeri ini.
“Jika nak ubah, tunggu Pilihan Raya Umum (PRU). Masing-masing buat elok-elok. Menangi hati orang ramai selaku pengundi. Jangan tak sabar, tamak dan cemburu.
“Tak kiralah sama ada di pihak Kerajaan Negeri Pahang mahupun di pihak yang nak buat himpunan di Pahang tu,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan Pas Negeri Pahang sedang menyusun Himpunan 30,000 Jentera Perikatan Nasional (PN) Pahang dengan membawa tema “Teraju Pahang, Hogoh Jelai” yang akan diadakan di DUN Jelai, Lipis pada satu tarikh bakal diumumkan nanti.
Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar dilaporkan berkata, Jelai menjadi antara sasaran Pas dalam PRU-16 akan datang. – MalaysiaGazette
















