KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan berlepas ke Geneva hari ini bagi mewakili Malaysia dan ASEAN dalam Persidangan Speaker Parlimen Sedunia ke-6 yang berlangsung dari 28 hingga 31 Julai ini.
Persidangan anjuran bersama Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menghimpunkan lebih 110 Speaker dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran global serta peranan parlimen dalam memelihara keamanan dan keadilan sejagat.
Sebagai Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Johari dijadual menyampaikan ucapan pada sesi Debat Umum bertemakan ‘Dunia yang Bergolak: Kerjasama Parlimen dan Multilateralisme demi Keamanan, Keadilan dan Kemakmuran untuk Semua’, esok.
Dalam ucapannya, Johari akan menegaskan pendirian tegas Malaysia terhadap penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin.
Selain itu, beliau juga menyeru parlimen-parlimen di dunia supaya tidak terus berdiam diri apabila prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa dicabuli.
“Parlimen dunia perlu berani bersuara. Kita tidak boleh terus membisu ketika kezaliman berlaku di depan mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau akan turut mengangkat isu keperluan institusi parlimen yang bebas dan berdaya tahan sebagai teras kepada sistem antarabangsa berasaskan undang-undang dan keadilan.
Seterusnya, Johari dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin parlimen, termasuk dari Republik Islam Iran, bagi membincangkan kerjasama mempertahankan Piagam PBB dan menyokong penyelesaian damai terhadap konflik global. – MalaysiaGazette















