KUALA LUMPUR – Kontrak pembinaan sedia ada akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan (SST) selama setahun supaya pelaksanaan cukai tersebut tidak menjejaskan industri pembinaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu bertujuan memberi masa kepada syarikat dan kontraktor untuk menyesuaikan sistem serta mengemas kini proses berkaitan SST sebelum pelaksanaannya sepenuhnya.
“Kerajaan faham kepentingan memastikan sektor pembinaan tidak terjejas secara negatif dengan pelaksanaan SST.
“Justeru, kontraktor yang mempunyai kontrak sedia ada akan diberikan pengecualian pembayaran cukai perkhidmatan selama setahun dari tarikh kuat kuasa, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Ahmad, kerajaan juga tidak akan mengenakan sebarang tindakan pendakwaan atau penalti sehingga 31 Disember ini untuk memberi ruang kepada industri membuat persediaan sepenuhnya.
Projek pembinaan lain yang turut dikecualikan daripada SST, termasuk kerja pembinaan bagi bangunan kediaman, kemudahan awam seperti rumah ibadah, tandas awam dan taman rekreasi, serta aktiviti Perniagaan kepada Perniagaan (B2B) tertentu di mana cukai hanya dikenakan kepada kontraktor utama dan bukan subkontraktor.
Selain itu, bahan binaan asas seperti simen, agregat (kerikil) dan pasir juga kekal berkadar sifar (zero-rated) di bawah cukai jualan.
“Langkah ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan SST secara adil dan berkesan serta memberi masa mencukupi kepada industri menyesuaikan diri,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















