KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) secara rasmi mengumumkan kemasukan pemain tengah berpengalaman, Yakubu Abubakar dari Ghana, sebagai pemain import pertama bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026.
Yakubu, 34, bukanlah nama asing dalam kancah Liga Malaysia kerana dia pernah menyarung jersi Sri Pahang FC pada musim 2021.
Terbaharu, dia beraksi di Liga Premier Bahrain bersama kelab Hidd SCC dan Myanmar National League bersama Yangon United FC pada musim 2022-2024.
“Sepanjang kariernya, Yakubu memulakan langkah di akademi bola sepak di Ghana sebelum beraksi bersama kelab Red Bull Ghana dan Ashanti Gold SC dalam Liga Premier Ghana.
“Beliau kemudiannya mengembangkan karier di peringkat antarabangsa dengan beraksi di pelbagai kelab di Mesir, Bahrain, Myanmar, Laos dan India,” tulis kelab itu di media sosial miliknya di sini hari ini.
Antara kelab yang pernah disertainya termasuk Dummiant Club, Kooroum Mahmura FC, Al Galali, Zeyar Shwe Myay, Ayeyawady United, Rakhine United, Shan United dan Lao Toyota FC.
Yakubu turut mempunyai pengalaman beraksi di pentas AFC Champions League, antaranya menentang JDT (Malaysia), Bengaluru FC dan Lao Toyota FC (India).
“Kehadiran Yakubu akan memperkukuh bahagian tengah pasukan Kedah FA dalam saingan musim ini dengan pengalaman serta ketenangannya mengemudi permainan di pelbagai liga kompetitif Asia,” kata Kedah FA.
Bulan lalu, Kedah FA mengumumkan Victor Andrag sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Semi Pro A1 musim 2025/2026. – MalaysiaGazette















