Foto: PDRM

KUALA LUMPUR – Mayat seorang wanita ditemui di bawah jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Batu 13, Puchong, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, mayat tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan tertiarap di atas batu.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan itu pada 11.58 pagi sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Pihak Forensik dari IPK (Ibu Pejabat Polis Kontijen) Selangor telah hadir di tempat kejadian dan klasifikasikan kes sebagai Laporan Mati Mengejut berdasarkan keadaan si mati sudah berada di dalam sungai lebih kurang 24 jam dan keadaan simati mulai kembung,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Azlan, tiada barang peribadi termasuk dokumen milik mangsa dijumpai.

Tambah beliau, pihak bomba juga hadir untuk bantuan dan pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati berpakaian serba hitam dengan baju yang telah terselak di bahagian atas serta berseluar panjang warna hitam.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat yang dijangka akan diadakan jam 8 pagi esok.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Vigneswaran A/L Kunasekar di talian 014-9229233 atau balai polis berhampiran.

Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan, ujarnya. – MalaysiaGazette5

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast