Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed.

KUALA LUMPUR – Penduduk sekitar Putrajaya dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya mendengar letupan meriam pada Selasa dan Khamis ini.

Jelas Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan letupan meriam sempena raptai penuh dan acara Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan yang akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1.

“ATM akan melaksanakan sebanyak dua das tembakan meriam pada raptai penuh dan 21 das tembakan pada hari acara,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu laluan yang terlibat semasa acara berlangsung adalah Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Lebuh Perdana Timur dan laluan sekitar Kompleks E.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan kesesakan jalan raya akan berlaku seawal pukul 7 hingga 10 pagi.

Beliau turut menasihatkan agar memberi kerjasama dan mematuhi isyarat yang diberikan oleh pihak polis bagi memastikan kelancaran istiadat perbarisan yang diadakan.

“Pihak polis menyeru orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan sebarang kesulitan,”tambahnya.

Menurut Aidi Sham, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian hotline Polis Putrajaya di 03-8886 2222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast