KUALA LUMPUR – Pakar sosial media berkongsi enam aplikasi media sosial yang sering digunakan golongan kanak-kanak yang mungkin menjurus mereka kepada pengantunan kanak-kanak (child grooming).
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, pengantunan kanak-kanak merupakan satu perilaku jenayah terhadap kanak-kanak yang disifatkan semakin menular dalam kalangan masyarakat hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa atau penjaga melindungi serta memantau aktiviti digital dan komunikasi dalam talian anak-anak mereka.
Ujarnya, pemangsa (pedofilia) sentiasa mencari peluang dan ruang untuk menjerut mangsa termasuk menerusi platform komunikasi yang kerap digunakan oleh kanak-kanak di negara ini.
Menurut beliau antara aplikasi sosial media itu adalah TikTok yang mana popularitinya tinggi dalam kalangan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.
Katanya, fungsi komen awam, mesej langsung (DM) dan siaran langsung (live) pada aplikasi TikTok mendedahkan kanak-kanak kepada interaksi luar kawalan.
“Kes pedofilia global telah dikesan di TikTok termasuk grooming melalui komen yang kelihatan ‘mesra’,” katanya.
Selain itu, ujarnya, ibu bapa dan penjaga juga perlu memberi perhatian kepada aplikasi media sosial YouTube/YouTube Kids.
Menurut beliau, YouTube biasa membenarkan komen dan pernah wujud pedophile ring dalam ruangan komen yang mengeksploitasi video kanak-kanak.
Sementara itu, katanya, YouTube Kids pula walaupun ditapis kadangkala masih membenarkan iklan atau kandungan manipulatif yang membawa kepada platform luar.
“Algoritma boleh membawa kanak-kanak ke video yang kelihatan tidak bersalah tetapi dieksploitasi oleh pelaku pedofilia,” katanya.
Aplikasi media sosial lain adalah Facebook/Facebook Messenger Kids/WhatApps yang direka untuk kanak-kanak bawah 13 tahun, tetapi tetap membenarkan interaksi langsung dengan kenalan luar (jika tidak dikawal ibu bapa dengan betul).
“Terdapat kes penipuan identiti, penyamar sebagai kanak-kanak sebaya (catfishing). Facebook biasa digunakan untuk mengintai dan menjejak profil kanak-kanak yang kurang diselia,” katanya.
Turut perlu diberi perhatian adalah aplikasi Roblox iaitu platform permainan interaktif dengan ruang chat (sembang) terbuka.
Menurut beliau, banyak kes grooming dikesan melalui permainan dalam Roblox yang mana pedofil menyamar sebagai rakan sebaya dan memulakan hubungan melalui avatar.
“Ciri permainan turut membenarkan akses kepada dunia virtual dengan kandungan seksual terselindung,” katanya.
Aplikasi seterusnya, tambah beliau, adalah Instagram yang mana kanak-kanak praremaja sering membuka akaun media sosial itu tanpa pengetahuan ibu bapa.
Jelasnya, aplikasi media sosial itu yang melibatkan muat naik gambar, video dan mesej peribadi membolehkan komunikasi langsung (contact direct) oleh orang asing (strangers).
“Hashtag berkaitan kanak-kanak sering disalah guna oleh pemangsa untuk menjejak akaun tertentu,” katanya.
Tambahnya, aplikasi permainan video yang membenarkan ruang sembang (chat) seperti PUBG Mobile, Free Fire, Mobile Legends dan banyak lagi juga perlu diberi perhatian.
Katanya, fungsi sembang (chat) suara dan mesej teks di dalam permainan membenarkan interaksi luar kawalan.
“Pemangsa menyamar sebagai pemain sebaya dan menarik perhatian mangsa dengan hadiah digital atau game currency,” katanya.
Menurut Siraj, aktiviti yang menjurus kepada penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) turut mensasarkan golongan kanak-kanak di platform-platform tersebut, dan disebabkan itu kerajaan mengehadkan mereka yang berumur 13 tahun ke bawah tidak boleh memiliki akaun media sosial.
Bagaimanapun, tambah beliau, kerajaan tidak menetapkan garis panduan berkaitan komunikasi kanak-kanak di platform permainan dalam talian.
Sehubungan itu, Siraj menggesa supaya ibu bapa dan penjaga sentiasa peka dan meningkatkan keselamatan peranti komunikasi anak-anak mereka bagi mengelak menjadi mangsa pengantunan kanak-kanak. – MalaysiaGazette
















