Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

KUALA LUMPUR – Amalan membaca Qunut Nazilah dalam perhimpunan yang menyasarkan Perdana Menteri adalah satu perbuatan yang mencemari kesucian dan tujuan sebenar ibadah dalam Islam.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, doa merupakan ibadah agung yang mesti disampaikan dengan adab, hikmah dan keikhlasan serta bebas daripada pengaruh emosi dan kepentingan politik.

Menurutnya, Islam sememangnya menggalakkan doa untuk kebaikan negara, tetapi bukan dengan cara merendahkan maruah seorang pemimpin muslim yang memegang mandat sah di sisi undang-undang dan proses demokrasi.

Selain itu tindakan menyebarkan tuduhan berulang mengenai liwat terhadap Perdana Menteri juga adalah satu bentuk jenayah Qazaf yang dilarang keras dalam Islam.

Apatah lagi, tambah beliau, apabila tuduhan itu dibuat tanpa bukti yang kukuh dengan kesaksian empat lelaki yang adil.

“Perbuatan menyebarkan fitnah ini bukan sekadar serangan peribadi yang menjatuhkan maruah seseorang, tetapi ia juga mencabuli prinsip keadilan yang dijunjung tinggi oleh Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Himpunan Turun Anwar yang berlangsung Sabtu lalu, didakwa dicemari dengan beberapa insiden tidak sepatutnya antara bacaan doa Qunut Nazilah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; laungan peliwat serta insiden hukuman sebat ke atas patung yang menyerupai Anwar.

Sementara itu, berhubung tindakan sebat ke atas patung yang menyerupai Anwar, Mohamed Azam menyifatkan satu bentuk penghinaan yang melampau dan jelas bertentangan dengan nilai kesopanan serta tatasusila masyarakat Malaysia.

Menurutnya, perbuatan sedemikian bukan sahaja mencalar maruah peribadi individu yang disasarkan, tetapi juga melangkaui batas adab dan akhlak dalam menyuarakan perbezaan pendapat.

“IKIM menyeru umat Islam agar menyuarakan pandangan dengan adab dan akhlak, bukan dengan kebencian atau penghinaan.

“Marilah kita memperkukuh kefahaman agama, memelihara maruah sesama insan dan membina masyarakat beradab demi generasi yang beriman dan bertamadun,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan, meskipun himpunan aman bukan kesalahan dalam Perlembagaan, namun hak tersebut datang bersama amanah moral dan tanggungjawab adab yang perlu dijunjung semua pihak, lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk dan beragama seperti Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast