KUALA LUMPUR – Sebanyak RM15 juta diperuntukkan kepada SME Corp untuk melaksanakan program BRAVE (Bumiputera Rapid Acceleration in Value Enhancement) bagi mempercepat pertumbuhan syarikat milik Bumiputera.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif baharu itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PUTRA 35) di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
“Di bawah program BRAVE ini, kita menyasarkan 15 syarikat untuk menerima manfaat.
“Sepuluh daripadanya disasar naik skala daripada perusahaan kecil kepada sederhana, manakala lima lagi ke tahap lebih besar atau bersedia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya semasa pelancaran program itu, di sini, hari ini.
Menurutnya, BRAVE akan dilaksanakan menerusi tiga komponen utama iaitu pembangunan kapasiti syarikat, pembiayaan sehingga RM1 juta, serta pemantauan berterusan oleh SME Corp.
Usaha itu selari dengan tumpuan kementeriannya untuk membina laluan pertumbuhan lebih sistematik bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus meningkatkan daya saing ekonomi Bumiputera.
“Inisiatif ini juga seiring dengan tumpuan besar KUSKOP untuk melebarkan skala PMKS daripada kecil ke sederhana.
“Seterusnya dapat sampai sehingga ke tahap yang layak disenaraikan di bursa,” tambahnya.
Sementara itu, beliau turut menekankan bahawa prinsip ASG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) akan diterapkan dalam pelaksanaan BRAVE sebagai sebahagian daripada budaya operasi syarikat.
“Kita telah melancarkan garis panduan pantas ASG kepada PMKS tahun lalu sebagai galakan.
“Kini kita mahu ia menjadi sebahagian daripada komponen penting dalam inisiatif seperti BRAVE ini,” jelasnya.
Beliau menyifatkan pembudayaan ASG penting bagi memastikan syarikat Bumiputera tidak hanya berkembang dari segi saiz, tetapi juga dari segi kelestarian, etika dan tadbir urus jangka panjang. – MalaysiaGazette
















