KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menegur Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah supaya memberi penjelasan secara lisan terhadap persoalan yang masih belum dijawab berhubung Rang Undang-Undang Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025.
Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, Shahidan melahirkan rasa kecewa kerana banyak persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen tidak dijawab secara tuntas, sebaliknya hanya dinyatakan melalui jawapan bertulis malah ada yang langsung tidak diberikan jawapan.
“Kita faham pegawai-pegawai bagi banyak jawapan untuk dibaca sehingga masa tidak sempat. Kami bersimpati, kami tak kejam. Jadi saya minta Yang Berhormat Timbalan Menteri jawab betul-betul apa yang kami tanya, dan saya harap ia dapat dijawab secara lisan sebelum jam 5 petang esok,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mencelah dan menjelaskan bahawa jawapan bertulis boleh diberikan dalam tempoh lima hari.
Shahidan turut menekankan bahawa persoalan berhubung perbezaan antara Perintah Kehadiran Wajib dan cadangan pelaksanaan tahanan di rumah memerlukan penjelasan segera daripada pihak kementerian.
“Tahanan rumah dengan perintah ini tidak sama. Ini perlu diperhalusi dan dibahaskan dengan serius,” katanya. -MalaysiaGazette















