ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berangkat ke Stadium Sultan Ibrahim, di sini, hari ini bagi memeriksa dan memantau kerja-kerja naik taraf yang sedang dijalankan menjelang musim perlawanan 2025-2026.
Lawatan baginda yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di stadium dengan gelaran ‘Home of the Southern Tigers’ itu untuk melihat sendiri kemudahan fasiliti korporat baharu, padang baharu dan kerja-kerja penyelenggaraan kawasan sekitarnya.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sebanyak 12 bilik korporat baharu dan dua ruang hospitaliti premium baharu ‘Red and Blue Lounge’ akan mula beroperasi sepenuhnya di stadium itu apabila musim 2025-2026 bermula pada 8 Ogos ini.
Kemudahan fasiliti baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha kelab untuk menambah baik apa yang terdapat di stadium tersebut serta meningkatkan hasil pendapatan Kelab Bolasepak JDT.
Setiap bilik korporat mampu memuatkan kumpulan sehingga 20 tetamu manakala ‘lounge’ pula menawarkan pengalaman hospitaliti premium kepada penyokong.
Ini termasuk sajian makanan dan minuman semasa perlawanan berlangsung di situ.
Maklumat lanjut dan harga bagi penggunaan jangka panjang dan jangka pendek akan diumumkan tidak lama lagi. – MalaysiaGazette
















