Foto: IHSAN SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman tiga pegawai kanan polis termasuk seorang pesara kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM110,000 sebagai balasan tidak mengganggu dan melindungi kegiatan pengedaran dadah dan air ketum sekitar negeri itu.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 4 Ogos terhadap ketiga-tiga suspek itu dikeluarkan Majistret Tan Chiew King selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Temerloh pagi tadi.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 8.30 malam semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Temerloh.

“Siasatan awal telah menahan empat suspek dan mendapati kesemuanya disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2022 hingga 2024.

“Salah seorang suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara bulanan antara kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya yang kemudiannya diagihkan kepada tiga lagi suspek ke akaun bank peribadi masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, seorang lagi suspek telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan SPRM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast