Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah meminta pasukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah segera menyiasat insiden buli yang tular di media sosial ketika ini.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru ibu bapa atau penjaga murid terlibat tampil dan membuat laporan kepada JPN Sabah atau kepada polis supaya ia boleh disiasat dan diambil tindakan.

“Kementerian Pendidikan (KPM) tidak berkompromi dengan salah laku buli. Ia perlu dibanteras di semua peringkat,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Terdahulu, kata Fadhlina, tular hantaran di media sosial berkenaan kes buli melibatkan murid di sebuah sekolah di Sabah, yang mana kes itu dikatakan berlaku pada 2023.

Bagaimanapun, Fadhlina tidak berkongsi secara khusus kejadian buli yang dimaksudkan itu.

Sementara itu, meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen menyambut baik ketegasan Fadhlina dan dalam masa sama menggesa supaya siasatan satu lagi kes buli yang kini menjadi perhatian banyak pihak turut diambil tindakan segera.

Kes buli itu melibatkan pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolahnya di Papar, Sabah pada 17 Julai lalu yang dikaitkan dengan kejadian buli.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun semalam berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu dan meminta orang ramai agar bertenang serta tidak membuat sebarang spekulasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast