konsert solo Sheila Majid 40 Years in Music yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 November depan.

KUALA LUMPUR – Penyanyi ternama, Datuk Sheila Majid bakal menghadiahkan peminat setianya konsert solo Sheila Majid 40 Years in Music  di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 November depan selepas empat dekad bergelar penghibur.

Sheila atau nama penuhnya Shaheila Abdul Majid, 60, berkata, konsert anjuran Altus Prohouse tersebut bagi meraikan penglibatannya dalam dunia nyanyian selama 40 tahun dan hadiah istimewa buat peminat setia.

“Konsert ini satu penanda aras baharu untuk kerjaya seni selama 40 tahun. Bukan tempoh singkat namun saya bersyukur masih diterima dan memiliki peminat yang masih setia memberi sokongan.

“Sheila Majid 40 Years in Music ini juga penghargaan kepada ramai individu yang berada di belakang saya sehingga nama Sheila Majid itu masih diterima dan dikenali oleh generasi hari ini,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Dalam masa sama, Sheila teruja untuk membuat persembahan berskala besar buat kali pertama di Axiata Arena.

“Saya mahu berikan yang terbaik kepada peminat kerana kali pertama saya mengadakan konsert di Axiata Arena, sebelum ini di Stadium Negara, Stadium Merdeka dan Pusat Dagangan Dunia (WTC).

“Pengisian, konsep termasuk semua kejutan pada konsert hanya akan didedahkan pada hari itu kerana bukan tak mahu kongsi lebih tetapi risau ada pihak meniru terutama pada zaman serba canggih dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI),” ujarnya.

Ditanya sama ada bakal menjemput mana-mana penyanyi lain pada konsert solonya, ibu kepada empat anak ini masih belum memikirkan soal tersebut.

“Sehingga hari ini kami pecah kepala untuk pilih lagu dan buat masa sekarang saya tak terfikir tentang penyanyi jemputan atau segmen tribute untuk artis lain.

“Itu adalah malam meraikan 40 tahun saya bergelar anak seni, jadi semuanya akan fokus kepada kerjaya dan lagu-lagu saya,” jelasnya.

Kali terakhir Sheila mengadakan konsert berskala besar adalah menerusi konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 di WTC pada 18 Mac 2023.

Peminat mendapatkan tiket bermula 17 Julai ini dengan harga RM268 (Cat 4), RM368 (Cat 3), RM468 (Cat 2), RM568 (Cat 1), RM668 (VIP), RM768 (VVIP) dan RM3,400 (Party Zone) menerusi www.ticket2u.com.my/sheilamajid40. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast